Pages

Wednesday, November 23, 2011

:: Mati Dengan Mata Terbeliak :: dan :: Sakitnya Mati ::

:: Mati Dengan Mata Terbeliak ::


Hadith:

Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda:”Tidakkah kamu lihat apabila seorang manusia mati, matanya terbeliak ke atas?” Jawab mereka, “Ya kami melihatnya, ya Rasulullah.” Sabda baginda lagi:”Hal itu terjadi kerana penglihatannya mengikut rohnya ketika roh itu pergi.”

(Muslim)

Huraian:

Kehidupan yang singkat di dunia ini amat penting dalam menentukan kehidupan yang panjang di akhirat kelak. Manusia, selain tidak mengetahui hari kematiannya, mereka juga tidak mengetahui nasib akhirnya sama ada mati dalam keadaan “husnul khatimah” atau “su’ul khatimah”, sekalipun amal ibadat dirasakan semakin bertambah. Rasulullah SAW sendiri telah bersabda yang maksudnya:”Dan Dialah Tuhan dan tiada Tuhan selain Dia. Sesungguhnya salah seorang di antara kamu beramal dengan amalan ahli syurga sehingga jarak antara dia dengan syurga itu hanya sehasta. Tiba-tiba kitabnya telah mendahuluinya, lalu ia pun beramal dengan amalan ahli neraka, maka ia masuk ke dalam neraka. Dan sesungguhnya salah seorang di antara kamu beramal dengan amalan ahli neraka sehingga jarak antara dia dengan neraka itu sehasta sahaja. Tiba-tiba kitabnya telah mendahuluinya, lalu ia pun beramal dengan amalan ahli syurga, maka ia masuk ke dalam syurga.” (Bukhari). Hadith ini memperingatkan kita bahawa tidak ada manusia yang dapat menjamin kesudahan yang baik bagi dirinya. Namun begitu dalam meniti saat-saat kematian, adakalanya Allah SWT menunjukkan kepada hambaNya tanda-tanda baik (”Husnul Khatimah”) atau tanda-tanda buruk (“su’ul khatimah”) dalam mengakhiri ajal seseorang. Sebab itulah kita diseru agar sentiasa berhati-hati supaya tidak terjerumus dengan godaan syaitan yang menggoda tidak kira masa sama ada ketika masih hidup di dunia atau semasa menghadapi sakaratul maut. Sesungguhnya mengingati dan menghayati erti kematian adalah satu motivasi diri yang terbaik supaya diri kita menjadi lebih insaf dan tidak leka dengan keindahan dunia yang hanya sementara ini.


:: Sakitnya Mati ::



Allah merahsiakan saat kematian kita, adalah untuk melihat sejauh mana kita melaksanakan amalan yang telah ditetapkan  kepada kita dan sedalam mana pula kita meninggalkan larangannya. Manusia yang hatinya sentiasa ingatkan mati, akan melaksanakan tugas yang telah diamanahkan kepadanya dengan lebih jujur, bersungguh-sungguh dan ikhlas untuk mendapat keredhaan Allah. Manusia begini sentiasa merasai setiap tingkah lakunya diperhatikan oleh Allah SWT. Dan ia juga mengetahui setiap tanggungjawab dan amanah yang dipikul akan ditanya satu persatu oleh Allah di akhirat kelak.
Kesakitan bila nyawa dicabut oleh malaikatul maut tidak dapat dibayangkan sama sekali. Walau bagaimanapun Nabi ada bersabda, maksudnya: “Bahawa Rasulullah mengingatkan tentang mati dan keseksaannya, maka sabda Baginda: Iaitulah sakitnya 300x tetakan pedang.” Bayangkanlah jika kita ditetak atau dipukul dengan kayu, rotan mahupun besi bukan banyak, cuma sekali saja, itupun sudah tidak dapat digambarkan kesakitannya. Inikan pula ditetak dengan 300x tetakan.
Bayangkanlah sendiri. Cuba kita tanggalkan pula kuku daripada isinya, pastinya sakit tidak tertahan. Daging disiat-siat dan dilapah hidup-hidup, dahaga yang amat sangat sehingga air lautan di dunia ini tidak mampu menghilangkannya. Semuanya ini cuma secebis dari perbandingan kesakitan maut,malah beribu-ribu kali lebih sakitnya daripada itu. Oleh itu, untuk meringankan keseksaan roh ketika dicabut oleh malaikat maut, maka digariskan beberapa amalan tertentu yang perlu diamalkan. Antaranya:-
Sebelum tidur:
1] Bacalah surah Al-Ikhlas tiga kali
2] Selawat ke atas Nabi
3] Membaca tasbih
Amalan harian:
1]  Sentiasa membaca Al-Quran
2]  Memelihara solat terutama solat fardu
3]  Menghormati (jangan bercakap) waktu azan diperdengarkan
4]  Membaca tasbih
5]  Membanyakkan sedekah
6]  Sentiasa berzikir menyebut Allah
Amalan yang perlu dijauhi:
1]  Dusta
2]  Khianat
3]  Mengadu domba
4]  Kencing berdiri
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Bersuci kamu sekalian dari buang air kecil kerana sesungguhnya kebanyakkan seksa kubur itu dari sebab buang air kecil.”
Pada suatu hari malaikatul maut datang untuk bertemu dengan Nabi Idris as lalu Nabi Idris meminta agar malaikatul maut mencabut nyawanya dan kemudian Allah menghidupkannya kembali. Permintaan ini dilakukan untuk Nabi Idris as mengetahui kesakitan sakaratul maut agar taqwanya lebih mendalam dan teguh lagi. Maka Allah memberikan wahyu kepada malaikatul maut supaya mencabut nyawa nabi Idris dan meninggalkan ketika itu juga. Malaikatul maut menangis dan memohon kepada Allah supaya Dia (Allah) menghidupkan kembali Nabi Idris lalu dimakbulkan Allah.
Setelah di dapati Nabi Idris as sudah hidup kembali, malaikatul maut bertanya: “Ya saudaraku, bagaimana rasanya kesakitan maut?” Jawab Nabi Idris: “Sesungguhnya ibarat terkelupasnya kulit dalam keadaan hidup-hidup, maka rasa sakit menghadapi maut itu lebih dari 1000 kali sakitnya.” Kata malaikat maut: “Secara berhati-hati dan tidak kasar yang telah saya lakukan khusus mencabut nyawa engkau itu, belumlah pernah aku lakukan terhadap seseorang pun.”
Diriwayatkan lagi bahawa Nabi Isa as telah menghidupkan beberapa orang yang telah mati dengan keizinan Allah. Maka sebahagian orang kafir berkata: “Sesungguhnya engkau telah menghidupkan orang-orang yang telah mati yang masih baru, yang mungkin mereka itu belum benar-benar mati. Maka cuba hidupkan untuk kami orang yang telah mati seperti zaman yang awal dulu.” Kata Nabi Isa as: “Cubalah kamu pilihkan?” Mereka berkata:Hidupkanlah untuk kami anak Nabi Nuh as (Sam bin Nuh).”
Maka Nabi Isa as pergi ke kuburnya, lalu mengerjakan solat dua rakaat dan berdoa kepada Allah. Dan Sam bin Nuh dihidupkan kembali, tetapi rambut dan janggutnya sudah beruban. Nabi Isa as hairan kenapa jadi begitu. Berkata Sam bin Nuh: “Saya telah mendengar panggilanmu dan saya mengira hari kiamat telah tiba, maka rambut dan janggut saya berubah menjadi putih seperti ini dari sebab takutnya hari kiamat. Berkata Nabi Isa as: “Sudah berapa tahun kau meninggal dunia?” Kata Sam: “Semenjak 4000 tahun lalu maka belumlah hilang sakit dari sakaratul maut.”

2 , 3 kucing berlari , kalau sudi datang la lagi .

No comments:

Post a Comment